Thursday, April 22, 2004

Odesi Cinta Ke Empat

Tak...Tu bukan tajuk filem dan aku bukan buat ulasan filem. Aku jenguk blog aku ni, dah lama rupanya tak up date. Aku tak tengok sebarang filem lewat ini menyebabkan blog ini tiada isi terkininya.

Entah kenapa jari jemari ini gatal mahu menaipkan perkataan Odesi Cinta Ke empat ini. Mungkin kerana disebalik beberapa perkara menarik yang berlaku sejak seminggu ini. Pertamanya kerana si dia mereject pengoratan aku (Maaf DBP) dan keduanya pertemuan secara tidak sengaja dengan si cinta lama di tepi kaunter pembayaran Giant Shah Alam Mall semalam.
Masih dalam waktu yang tidak pasti, hati ini tergerak untuk menegur si gadis yang pernah menjadi sesuatu yang istimewa di hati ini. Bertanya khabar si dia yang pernah melukakan organ-organ dalamanku. (Hati la, apa lagi, takkan pankreas kot). Si dia, cinta lama tampak sihat, tersenyum menegur berat badanku yang semakin bertambah. Aku sekadar mengukir senyuman sinis. Pertemuan berakhir singkat dengan aku dan dia berpaling dan berpisah menghala ke destinasi masing-masing. Aku tersenyum sendirian menyedari api kemarahan ku terhadap si dia telah lama padam. Kini aku tidak lagi menyimpan sebarang bara dan hatiku lebih tenang tatkala menatap wajah jelita si cinta lama. Mahu juga untukku bertanya lebih panjang tentang bagaimana keadaannya sekarang, namun entah kenapa kukira tak perlu kutanya lebih panjang lagi. Haha. Tidak menolak bahawa tersemat dihatiku agar dia berjaya dalam hidupnya dan hidup bahagia sentiasa. (Sepastinya lelaki yang berjaya mencuri cintanya kuanggap lelaki bertuah kerana memiliki gadis seistimewanya).

Dan untuk diriku, aku tidak pasti bila lagi gadis istimewa akan hadir dalam perjalananku ini tatkala aku gagal untuk cuba mengetuk pintu hati seseorang yang sedang bekerja part-time di tingkat satu pejabatku ini.

Apa pun ku terus dengan odesi ini....

Utusan jiwang di atas ditulis tatkala aku malas untuk membuat kerja. Mungkin kalau ada masa akan aku ulas filem-filem yang aku tonton. Orait! Have a nice day semua dan keep smiling :P

Oh ya, Good Luck untuk barisan pemain Valencia yang akan beraksi dalam separuh akhir UEFA Cup malam ni.

Tuesday, April 20, 2004










































Gambar





Monday, April 12, 2004

Ulasan Filem Super Sapiens

Buat peminat yang datang menjenguk ke panggung dan terpandang poster besar filem bertajuk 'Super Sapiens', suka kiranya saya terangkan yang tajuk asal filem tersebut adalah Hellboy, sebuah adaptasi dari komik superhero terbitan Dark Horse. Kenapa ditukar tajuknya? Kerana di Malaysia kita punya ramai golongan cerdik pandai yang akan mengharamkan tayangan filem tersebut jika tajuknya dikekalkan (iaitu Hellboy). Hellboy jika diterjemah bermaksud 'Budak lelaki neraka', Tidak, golongan cerdik pandai ini bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan warganegara Malaysia dari filem yang punya tajuk negatif seperti neraka. (atau Syaitan berani @ Daredevil?).

Hellboy Dengan Pose Riak
Hellboy opss..Super Sapiens adalah hasil arahan Guillermo Del Toro (Blade II & Mimic) dengan barisan pelakon Ron Perlman (Hellboy), Selma Blair (Liz Sherman), John Hurt (Prof. Broom), Doug Jones (Abe Sapien) & Karel Roden (Rasputin). Filem ini diadaptasi dari salah satu siri komik Hellboy bertajuk 'Seed of Destruction.

Hellboy (ketika itu masih bayi) pada asalnya telah diseru oleh Rasputin dengan tujuan untuk menghancurkan dunia. Rasputin adalah sebahagian dari projek rahsia Hitler pada perang dunia ke 2 dalam usaha memenangi perang yang sedang bergolak. Kononnya Hitler secara rahsia adalah seorang yang obses dengan hal-hal berkaitan dengan paranormal. Namun usaha Rasputin tersebut gagal apabila diserang hendap oleh tentera-tentera Amerika lantas Hellboy jatuh ke tangan orang baik. Kita kemudian dibawa ke zaman sekarang di mana Hellboy telah dewasa dan menjadi agen untuk satu organisasi rahsia bernama Bureau of Paranormal Research and Defence (BPRD). Namun tanpa disangka-sangka Rasputin telah dihidupkan kembali oleh pengikut-pengikut setianya dan menyambung kembali rancangan yang telah gagal berpuluh tahun lalu. Kini menjadi tugas anggota BPRD iaitu Hellboy, Abe Sapien (seorang mutant yang hidup didalam air dan mempunyai kuasa psikik), Liz Sherman (seorang awek yang mempunyai kuasa pyrokinesis) dan John Meyers, seorang ejen FBI yang baru ditukarkan ke biro itu untuk menghalang rancangan Rasputin.

Apabila sesebuah filem adaptasi komik tersebut dihasilkan, satu aspek penting yang amat ditakuti oleh si pengarah adalah penerimaan peminat setia komik tersebut. Sebagaimana peminat X-men memuji X-2 atau peminat League of Extraordinary Gentlemen menghentam filem tersebut. Namun Guillermo bertuah kerana pencipta Hellboy, Mike Mignola turut serta dalam proses produksi menjadikan mood filem ini tidak banyak lari dari komik asalnya. Cuma mungkin satu karakter baru diperkenalkan iaitu John Meyers namun tambahan tersebut tidak mencacatkan cerita yang dipersembahkan.

Mengorat Liz
Seperkara yang menarik perhatian saya adalah penceritaan karakter-karakter utamanya yang agak sempurna dan tidak mengelirukan saya. Pengarah menceritakan asal, tujuan dan peranan karakter-karakter seperti Hellboy, Liz Sherman, Prof. Broom, Rasputin dan Kroenen dengan pelbagai variasi. Sebagai contoh asal Hellboy diceritakan secara imbas kembali pada awal cerita, siapa Liz Sherman boleh kita tahu kalau mata anda semua tajam memerhatikan gambar-gambar dan klip video TV di dalam bilik Hellboy dan kenapa Kroenen menjadi sedahsyat itu semasa Prof. Broom membuat proses autopsi ke atasnya. Penceritaan setiap karakter tidak terlalu ringkas dan lemah seperti LXG. Sepanjang perjalanan filem bergerak mencerita setiap satunya dengan jelas sekali.

Satu lagi elemen yang menambat hati saya adalah konflik cinta tiga segi antara Hellboy, Liz Sherman dan ejen Meyers. Secara ringkasnya Hellboy telah lama menaruh hati ke atas gadis tersebut tetapi tidak mampu meluahkannya. Kebetulan pula ejen Meyers hadir sebagai seorang yang selalu menyenangkan hati Liz. Tambahan lagi Liz pernah lari dari BPRD dan bertekad untuk tidak mahu pulang lagi. Siapa lagi yang mampu memujuk Liz pulang ke BPRD kalau bukan ejen Meyers. Ini menambahkan lagi perasaan cemburu si Hellboy. Dia diserang perasaan rendah diri apabila membandingkan dirinya dengan ejen Meyers. Iyalah, antara ejen Meyers yang tampan dengan si Hellboy yang...ehem...tak rupa manusia, agak-agak si jelita akan pilih siapa? Ucapan-ucapan yang hadir dari mulut Hellboy untuk mencuri hati Liz agak ringkas dan tidaklah seromantik mengambil contoh Jerry Maguire barangkali?. Namun ianya sudah cukup memberi kesan tentang perasaannya. Saya juga menganggap chemistry antara Hellboy dan Liz merupakan yang terbaik antara filem-filem superhero yang saya tonton sebelum ini. Menolak terus chemistry antara Batman dan Catwoman (Batman Returns) ke nombor dua.

Gasak!
Pemilihan Ron Perlman sebagai Hellboy begitu tepat sekali. Beliau berjaya membawa karakter tersebut dengan begitu baik dan sebagaimana Hugh Jackman dianggap lahir untuk membawa karakter Wolverine dalam filem X-Men, begitu juga Ron Perlman.

Saya tidak tahu bagaimana dengan penerimaan peminat Hellboy, namun untuk bukan peminat, Hellboy menghidangkan satu persembahan yang amat menarik sekali. Tidak peduli apa yang orang lain kata, Hellboy sudah berada sama taraf dengan X-2, Batman (arahan Tim Burton) dan Spiderman.

Oh ya, saya terus menerus merujuk filem ini sebagai Hellboy bukan Super Sapiens kerana saya tak suka nama tersebut. Haha!

Wednesday, April 07, 2004

Malam Anugerah Anime Tokyo 2003

Pada Tokyo International Anime Fair (Mac lepas) telah berlangsung malam anugerah anime untuk menghargai mereka-mereka yang terlibat dalam dunia anime. Mari kita siapa yang menang?

Anime Terbaik 2003:
GUNDAM SEED

Aku tak tahu pendapat orang lain, tapi memang siri anime ni memang best, worth watching!
GUNDAM SEED

Siri Anime TV Terbaik:
Astroboy & Fullmetal Alchemist

Versi baru Astroboy aku tak tengok, tapi berdasarkan background, anime ni memang dah diangkat menjadi antara yang klasik. Fullmetal Alchemist juga salah satu dari anime worth watching (Aku tak tengok habis pun, beberapa episod aje!)
Mizushima
Seiiji Mizushima selaku pengarah Fullmetal Alchemist

OVA Terbaik:
Animatrix & Macross Zero

Animatrix mengumpulkan 7 cerita dengan pelbagai style animasi. Anime, CG, noir anime & banyak lagi. Macross Zero pula aku puji in-terms of cerita yang begitu kuat. (Bila nak keluar bahagian 3 aaa?)
Macross Zero
Animatrix

Animasi Luar Terbaik:
Lilo & Stitch

Storyline yang kuat. Lawak style Disney.

Pengarah Terbaik:
Satoshi Kon

Aku jamin ramai tak kenal dia. Bagi aku dia adalah next Hayao Miyazaki, Mamoru Oshii atau siapa saja tokoh anime yang terbilang sekarang. Millenium Actress hasil karyanya adalah sebuah anime masterpiece.
Satoshi Kon

Skrip Terbaik:
Aikawa Shou (Fullmetal Alchemist)

Ntah, rasa macam biasa aje skrip dia. Mungkin sebab aku tengok anime baca subtitle kot? Kekadang kan subtitle lari sikit dari skrip asal.
Aikawa Shou

Artis latar Terbaik:
Ike Nobutaka (Tokyo Godfather)

Aku tengok artis ni buat kerja dalam majalah NewType, peh! detail beb!

Rekaan Karakter Terbaik:
Hirai Hisashi (MS GUNDAM SEED)

Boleh la kot? (walaupun aku rasa macam Last Exile punya rekaan karakter lagi best!)

Seiyuu Terbaik:
Paku Romi (Edward dalam Fullmetal Alchemist)

Dia bawak karakter ni memang berkesan.
Paku Romi

Muzik Terbaik:
Youko Kanno (GiTS: Stand Alone Complex)

Master dalam soundtrack anime. Hasil kerja dia dalam Cowboy Bebop dulu pun masih terngiang-ngiang dalam telinga aku!
Youko Kanno




Amacam? Adakah anime-anime tersebut layak untuk menerima anugerah? Ada kontroversi sebagaimana ada pihak kata Sean Penn tak layak menang Oscar tempohari? Hehe!

Tuesday, April 06, 2004

Sedikit Sinar Pada Musim Yang Mendung

Itu dia! Scholes menjadi wira buat peminat-peminat Manchester United seluruh dunia apabila gol tunggalnya membenam impian Arsenal untuk mara ke separuh akhir. Terima kasih juga kepada Ryan Giggs yang melorongkan bola, Wes Brown yang bertindak cemerlang menghalang segala asakan pemain-pemain Gunners, Roy Carroll yang menafikan setiap serangan dan pendek kata semua pemain MU yang berada di atas padang ketika itu.

Sekurang-kurangnya Sir Fergie mampu tersenyum disebalik segala cemuhan yang dilemparkan sepanjang musim.
fergie
Ferguson: Apa ke jadahnya player ko tu?
Wenger: Hek Eleh orang tua ni....ku tapik jugak muka dia karang.....

Dalam pada kemenangan itu, tipikalnya kedengaran suara-suara ANTI-MU yang menafikan kejayaan pasukan tersebut. Menang nasib? Arsenal saja bagi cup sebab kesian? Takut Fergie masuk hospital sebab tahun ni tak menang cup? Thierry Henry tak main, sebab tula Gunners tak kuat? (Tipikalnya begitulah buat Man. United haters yang tak henti-henti menafikan segala kejayaan team tersebut.)

Hek Eleh, hehe. Ayat-ayat tersebut dah aku dengar hampir 10 tahun rasanya. (Dulu penyokong Liverpool yang banyak bersuara). Come Man. United haters semua, beri alasan baru untuk aku dengar, come on, korang semua pasti boleh! Man. United haters boleh! Haha!

ronaldo
Oh mak kau tergolek kain terlondeh...siot la ko Edu...


Kejayaan tersebut juga telah menghancurkan harapan Arsenal untuk mencapai 'treble' (EPL, FA Cup dan Champions League) seterusnya menyamai rekod MU yang telah dibuat pada tahun 1999. Tapi sekurang-kurangnya peminat Arsenal boleh berbangga dengan rekod all time baru yang telah pasukan itu pecahkan. Rekod tanpa kalah! Wah, sesuatu yang cemerlang tu.

Buat MU, lawan yang menanti mereka adalah Millwall. Sapo? Ya, Millwall, pasukan kerdil yang berdiri tak sama tinggi dengan nama besar kelab England yang lain. Ramalan? Seharusnya MU menang selesa dalam perlawanan akhir itu nanti. Tapi...ingatkah anda dengan 'Dances With Wolves'? MU kalah 0-1 dengan satu pasukan tak sama tinggi tahun ini, Wolves. Itu bermakna Millwall juga punya harapan untuk membuat kejutan. Bak kata orang, bola itu bulat. (Pepatah tersebut nyata tidak ditujukan buat perlawanan ragbi).
game
Ku kata yeah, ku kata ohhh....Ke final kome (nada slang perak)

Oh ya, sedikit harapan juga kuberikan buat Valencia untuk memintas Real Madrid daam La Liga.

Thursday, April 01, 2004

Apresiasi Seni SAYA

Pada ahad 24 Mac Yang lepas saya berpeluang untuk menghadiri satu majlis yang dinamakan SAYA. Apa itu SAYA?. SAYA adalah satu acara (menurut apa yang saya dengar) apresiasi seni bertujuan menyajikan penonton dengan perspektif seni dan menyokong bakat-bakat mereka yang terlibat dalam bidang itu. SAYA telah dianjurkan oleh satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka Fakulti. Bertempat di kompleks membeli belah The Tropics, Bandar Damansara Perdana, saya tiba di sana ketika majlis hampir bermula.

Majlis tersebut menampilkan ramai karyawan seni yang agak kurang atau tidak pernah saya dengar pun (maklumlah, saya bukanlah penggiat seni yang aktif pun). Persembahan dimulakan dengan pasangan Markiza dan Hassan Peter yang mendendangkan beberapa buah lagu. Setelah itu bergilir-gilir naik ke pentas persembahan dari Firdaus, Fara Fitria, Rudy (Hitz. FM tu), puisi dari Tukang Kata yang pada saya menarik sekali. Ditambah pula dengan lagu latar dari DJ yang saya sendiri sudah lupa namanya, maaf!

Selain itu muncul juga Emberz of Soul, Karin, Surreal, Fish and Ayen dan yang satu-satunya artis yang saya kenal iaitu Teh Tarik Crew. Saya tertarik dengan persembahan Surreal (Ok, selain mereka tampil sebagai kumpulan 5 orang awek cun). Mereka cuba menampilkan gaya nyanyian akapela. Lagu pertama yang mereka persembahkan mampu juga membuat saya kagum. Namun banyak pula kelemahan untuk lagu-lagu seterusnya seperti lupa lirik dan ketidaksefahaman dalam harmoni. Mungkin mereka masih perlu banyak belajar tapi Surreal nyata mempunyai potensi untuk pergi jauh. (Ok, bukan bias sebab mereka awek-awek cun!!)

Fish dan Ayen pula cuba untuk mendeklamasi sajak namun usaha mereka nyata mendapat sambutan yang agak dingin. Mengapa saya kata demikian? Kerana tatkala suara mereka menuturkan baris-baris puisi, dewan itu gamat dengan bunyi-bunyi orang berbual tanpa menghiraukan Fish dan Ayen di atas pentas. Tambahan pula ketika Fish yang suaranya agak tenggelam dan seolah-olah tidak diperdulikan oleh kebanyakkan orang.

Pentas dibina dengan begitu ringkas dengan hamparan permaidani di hadapannya. Pihak penganjur berharap agar para hadirin dapat duduk di hamparan itu untuk keselesaan mereka (tidak perlu lagi berdiri). Tapi nyata usaha itu seakan juga tidak mendapat sambutan kerana hamparan tersebut kebanyakkan masanya kosong dan hanya ada ketikanya hanya diduduki oleh sekumpulan kanak-kanak kecil. Mungkin para hadirin terlalu malu hendak duduk disitu. Takut dikata 'beria' pula bukan?

Selain dari persembahan pentas, SAYA juga menampilkan pameran-pameran fotografi, karya seni Rina Shukor, artis inspirasi manga iaitu Shieko, tayangan video dan banyak lagi. Saya juga mengambil peluang mencurahkan komen atau perasaan saya terhadap satu dari barisan gambar foto yang dipamerkan. (Peraturannya - Bagi komen gambar tersebut, ambil dan bawa ia pulang).

Majlis tersebut juga mengambil peluang untuk membuat kutipan amal Rumah Solehah bagi membantu kanak-kanak yang malang.

Walaupun banyak kekurangan dari segi teknikal dan persembahan, namun saya memuji usaha keras pihak penganjur bagi memastikan majlis tersebut berjalan lancar. Semoga SAYA boleh menjadi salah satu acara seni yang besar suatu hari nanti.

About me

  • I'm Nazri
  • From
  • Gue penggemar ribena. Hiphip horei.
My profile

VOVIN

    Emel: nazri123456789 (at) gmail (dot) com
    YM: vovin_realm
Powered by Blogger
& Blogger Templates << # BolehBlogs ? >> Bloglah.org : Malaysia Bloggers Community !
Ada sesetengah bahagian dari isi kandungan blog ini adalah fiksyen dan ada juga kisah benar yang mungkin difiksyenkan atau memang betul-betul terjadi. Secara asasnya, tulisan-tulisan dalam blog ini adalah hakmilik aku. Kalau mahu curi pun, aku bukannya tahu. Tapi kalau aku tahu, dan jika aku rajin, makanya si pencuri akan disaman. Itupun kalau aku rajin. Kalau mahu ambil risiko, curi la.